JellyPages.com

Tuesday, April 6, 2010

Kisah tempayan retak

Seorang pengangkut air memiliki dua tempayan besar di
mana kedua-duanya tergantung pada hujung pengandar
di bahunya. Satu daripada tempayan itu retak, sedangkan
yang satu lagi tidak. Jika tempayan yang tidak retak itu
selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan
panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan
yang retak itu hanya dapat membawa air setengah sahaja.
Selama 2 tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si pengangkut
air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke
rumah majikannya. Tentu sahaja tempayan yang tidak
retak merasa bangga di atas prestasinya kerana dapat
menunaikan tugasnya dengan sempurna. Namun si
tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali di atas
ketidaksempurnaannya dan merasa sedih sebab ia hanya
dapat memberikan setengah dari kemampuan yang ia miliki.

Setelah 2 tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, si
tempayan retak itu berkata kepada si pengangkut air;
” Saya sungguh malu pada diri saya sendiri dan ingin
memohon maaf. ”
” Kenapa? ” tanya si pengangkut air.
” Kenapa kamu berasa malu? ”
” Selama 2 tahun ini saya hanya mampu membawa
setengah air daripada yang seharusnya dapat saya bawa
kerana adanya retakan pada sisi badan saya. Ini
membuatkan air yang saya bawa bocor sepanjang
perjalanan ke rumah majikan. Kerana kecacatan itu saya
telah membuatmu rugi ” , kata tempayan retak itu.
Si pengangkut air berasa kasihan kepada tempayan retak,
dan dalam belas kasihannya, dia berkata ;
” Jika kita kembali ke rumah majikan esok, aku ingin kamu
memperhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan. ”
Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak
memerhatikan dan baru menyedari bahawa ada
bunga-bunga indah di sepanjang jalan dan itu
membuatkannya sedikit terhibur. Namun pada akhir
perjalanan ia kembali sedih kerana separuh air yang
dibawanya telah bocor. Tempayan retak itu kembali
meminta maaf kepada si pengangkut air atas kegagalannya.
Si pengangkut air berkata kepada tempayan itu;
” Apakah kamu memperhatikan adanya bunga-bunga indah
di sepanjang jalan di sisimu tapi tiada bunga di sepanjang
jalan di sisi tempayan yang tidak retak itu? Itu kerana aku
telah menyedari akan kecacatanmu itu dan aku
manfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di
sepanjang jalan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan
pulang dari mata air, bahagian kamu yang retak akan
mengairi benih-benih itu. Selama 2 tahun ini aku telah
memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja
majikan kita. Sesungguhnya tanpa kamu, majikan kita tidak
akan dapat menghias rumahnya seindah ini. ”
Kesimpulannya, setiap daripada kita memiliki kekurangan
dan kecacatan tersendiri. Kita semua adalah tempayan
retak. Di mata Allah yang Maha Bijaksana, tidak ada yang
terbuang atau dibazirkan secara percuma. Jangan takut
akan kekurangan kita tetapi kenalilah kelemahan kita.
Ketahuilah, di dalam kelemahan setiap orang, terselit
kekuatan yang kita belum temui.
“renung2kanlah..”

No comments: